Semua ahli MPTI yang baru dilantik menegaskan kepentingan untuk mendengari suara rakyat dalam isu setempat

Kenyataan Media Setiausaha Politik Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Woo Kah Leong di Teluk Intan pada 26.07.2018. Setiausaha Politik Ahli Parlimen Teluk Intan, Woo Kah Leong (Woo) menyeru semua ahli MPTI yang baru dilantik untuk memastikan semua aduan rakyat setempat diberikan perhatian yang sewajarnya serta diuruskan dengan secepat mungkin untuk menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan adalah berbeza dengan rejim kleptokrasi sebelum ini. Woo yang turut dilantik sebagai ahli MPTI pada hari ini menegaskan kepentingan untuk mendengari suara rakyat dalam isu setempat lantaran komuniti Teluk Intan adalah milik semua warga Teluk Intan dan maka setiap ahli MPTI adalah wajib menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk terus memperkembangkan pekan Teluk Intan yang penuh bersejarah.

Setiausaha politik kepada Pengerusi DAP Perak ini juga mengesyorkan tiga pembaharuan yang harus dilaksanakan oleh MPTI dalam beberapa tahun ini untuk merapatkan lagi rakyat Teluk Intan dengan agensi pelaksana tersebut. “Pertamanya, MPTI harus kembali kepada tugas dan fungsi asalnya, yakni menyelesaikan masalah seharian rakyat setempat seperti pengendalian sampah serta membina mahupun menaiktarafkan kemudahan asas demi manfaat warga Teluk Intan. MPTI harus mengambil tindakan segera dalam mengendalikan aduan rakyat tanpa berlengah ataupun menunggu arahan ahli MPTI untuk mengambil tindakan selanjutnya.” kata Penyelaras Parlimen Teluk Intan tersebut.

Woo berujar pembaharuan kedua adalah bahawa pendemokrasian MPTI harus diusahakan dari semasa ke semasa. Segala minit mesyuarat penuh MPTI harus dipaparkan dalam portal rasmi untuk membolehkan rakyat Teluk Intan menyelia perihal sebenar dalam mesyuarat penting tersebut dan langkah ini turut penting untuk memastikan tiadanya ahli MPTI yang berat tulang dan ponteng dalam mesyuarat sebegini. Sekiranya belanjawan mencukupi, MPTI turut harus menyiarkan secara langsung mesyuarat penuh MPTI seperti persidangan parlimen dan hal ini dipercayai akan mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan lagi. “Ketiganya, kebajikan pekerja MPTI khususnya kumpulan rendah harus dibela dengan serta-merta.

Difahamkan bahawa gaji kumpulan rendah MPTI terutamanya pembantu awam dan pemandu adalah berada di bawah paras kemiskinan. Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, adalah susah dan derita untuk golongan tersebut terus hidup dengan gaji yang tidak selaras dengan usaha serta tenaga yang disumbangkan mereka. Sekiranya begini, mereka terpaksa mencari kerja sampingan untuk terus menampung kehidupan dan tentulah kualiti perkhidmatan mereka dalam MPTI pun akan terjejas lantarannya. Oleh itu, satu jawatankuasa khas harus ditubuhkan untuk meneliti masalah ini dengan segera untuk membela nasib kumpulan tersebut.” kata Woo. Sekali lagi Woo menggesa semua ahli MPTI yang dilantik untuk tidak mengecewakan hasrat rakyat yang menuntut perubahan dan menyeru warga Teluk Intan untuk sama-sama menyumbang demi mewujudkan komuniti Teluk Intan yang lestari untuk semua.