Fadzlan Yahya: Sang pemidato anak Perak

Beliau digantung pada hari pertama melangkah masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak sebagai Adun Pasir Bedamar. Speaker DUN ketika itu, Shamsuddin Din, mengarahkan beliau keluar dari dewan. Sebagai protes, beliau menghadiahkan bunga warna putih kepada Speaker – sebuah simbolik bahawa dalam dewan itu demokrasi telah mati. Pada hari sama, ketika sesi rehat, Speaker dikejarkan ke hospital kerana serangan sakit jantung. Dewan jadi ribut. Itu cerita beliau tentang peristiwa hampir 35 tahun lalu. Pada 1995, beliau berada di Mekah menunaikan haji ketika menerima khabar Pilihanraya Umum ke-9 tentang kekalahan teruk DAP. Sejurus selepas itu, dengan kesihatan yang semakin merosot beliau meninggalkan politik.

Beliau adalah Fadzlan Yahya (1950-2016), wakil rakyat dari DAP yang memenangi kerusi DUN Pasir Bedamar di kawasan Teluk Intan pada pilihan raya 1982. Beliau dipilih sebagai Adun di kawasan itu selama dua penggal sebelum memenangi DUN Lahat, juga di Perak, pada 1990. Beliau turut memegang jawatan Naib Pengerusi DAP dan Ketua DAPSY. Di zamannya, beliau dikenali sebagai pemidato yang hebat. Almarhum ayah Fadzlan bekerja sebagai pegawai hutan negeri. Oleh kerana itu, beliau sentiasa berpindah tempat kediaman dan tempat bersekolah. Anak Perak ini mula bersekolah darjah satu di Taiping. Selepas itu, beliau berpindah ke beberapa tempat termasuk Beruas dan Sungai Lapam. Beliau selepas itu berpindah ke Kampar sebelum kembali semula ke Beruas dan pindah semula ke Taiping.

Di Taiping beliau selesai pengajian sampai tingkatan lima. Pada tahun 1973, beliau menyertai Universiti Sumatera Utara dalam pengajian Sosial Politik atau dikenali sebagai Sospol. Ketika itu jurusan sosial politik belum ditawarkan di universiti tempatan tanah air. Selepas lebih kurang setahun di sana, beliau menyambung pengajian di Universiti Gadjah Mada pada tahun 1974 dengan lulus sebagai graduan. Pulang ke Malaysia – Tubuhkan sekolah – sertai politik. Tidak beberapa lama selepas pulang ke Malaysia, Fadzlan dan beberapa rakan berpakat menubuhkan sebuah sekolah di Taiping. Sekolah itu mengambil pelajar tingkatan 3, 4, dan 5 dengan kuliah pada sebelah malam untuk tingkatan 6. Menurutnya, jumlah pelajar sekolah itu mencecah 600 orang pada tahun 1976.

Menjelang pilihan raya umum 1974, beliau aktif dalam pemerhatian politik. PRU tersebut juga merupakan kali pertama Barisan Nasional muncul selepas meluaskan keanggotaan Perikatan yang sebelum itu hanya dianggotai UMNO-MCA-MIC. Pada PRU itu, pembangkang seperti PAS, PPP dan Gerakan bergabung dalam BN. Ada pihak yang bersetuju, tidak kurang yang tidak bersetuju. Ketika itu, menurut Fadzlan, guru lebih dari sekadar pendidik dalam bilik darjah. Beliau juga sudah dikenali di kalangan masyarakat setempat dan telah menerima beberapa tawaran menyertai parti politik. “Tawaran pertama datang daripada Cikgu Adnan Yusof, orang kuat PAS Perak dan merupakan pecahan kumpulan bebas yang tidak bersetuju dengan tindakan PAS menyertai BN,” katanya dalam satu pertemuan di Ipoh baru-baru ini. Menurut cerita beliau, dia dihubungi kumpulan Cikgu Adnan dan diminta menjadi calon bebas melawan calon PAS.

Pada masa sama, beliau menerima tawaran daripada Lim Eng Chuan, wakil rakyat DAP bagi DUN Klian Pauh di kawasan Taiping. “Beliau merupakan wakil rakyat di situ, kadang-kadang kalau ada masalah beliau datang berbincang dengan saya. Jika saya ke pekan Taiping, saya selalu singgah di tempatnya. Kami cerita hal-hal politik. Dari situlah kami berkenalan. “Beliau meninggalkan Gerakan dan menyertai DAP lantas memberi cadangan agar saya turut menyertai DAP. Changkat Jering pernah dimenangi oleh Gerakan, maka beliau meyakinkan bahawa saya ada peluang untuk menang jika bertanding. Saya masuk DAP sekitar tahun 74/75,” imbas beliau. Fadzlan bertanding kerusi DUN Changkat Jering pada PRU 1974 tetapi kalah di tangan calon BN dalam pertandingan empat penjuru. Calon BN mendapat 5,861 undi manakala Fadzlan 2,598 undi. Beliau yang turut bertanding kerusi Parlimen Matang juga tewas kepada BN, sekali lagi dalam pertandingan empat penjuru. Undi beliau adalah 4,766 manakala BN 12,543.

Namun, beliau tidak putus asa. Pada PRU 1978, beliau bertanding di DUN Chemor pula dan sekali lagi tewas. Undi yang diperolehinya ialah 9,727 manakala BN 13,641 dalam pertandingan satu lawan satu. Aktif dalam DAP – menang pilihan raya 1982. Walaupun menerima dua kekalahan, Fadzlan sudah menempa nama sebagai wakil Melayu dalam DAP yang disegani baik kawan mahupun lawan. Kebetulan, Lee Lam Thye, tokoh muda DAP dari Kuala Lumpur pada masa itu baru saja melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAP) Kebangsaan. Beliau kemudian dilantik mengisi kekosongan jawatan itu dan beliau mula bergiat lebih aktif. Semasa bekerja di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, selain menterjemah ucapan-ucapan Lim Kit Siang, beliau sering menerima undangan dari pelajar universiti tempatan terutama Universiti Malaya untuk menjadi panel forum yang selalunya berkisar tentang debat dasar DAP dan kerajaan. Beliau kemudian dihantar ke Ipoh untuk kemas kini cawangan-cawangan DAP di sana. Beliau bertanggungjawab menyusun aktiviti pemuda selain program parti seperti jamuan makan malam dan aktiviti setempat.

Pada 1982, pilihan raya umum tiba sekali lagi. Pengerusi DAP Perak ketika itu, Lim Cho Hock mencadangkan kerusi DUN Pasir Bedamar di kawasan Teluk Intan kepadanya. Ditanya tentang situasi kempen pilihan raya 1982, beliau bercerita: “Ketika itu, ada juga beberapa kawan daripada kalangan Melayu sokong saya walaupun mereka tak campur politik. Ada 5 atau 6 orang yang selalu ikut saya di sana. Ada yang jadi pemandu, ada yang jadi tukang pacak bendera. Selain itu, saya teringat, ada seorang Serani, nama dia Uncle Daniel. Dia telah sanggup keluarkan biaya untuk lain-lain perbelanjaan kempen. “Ketika kita buat rapat umum, ramai orang datang. Sambutan begitu baik. Jadi sebelum hari pengundian lagi, mereka semua seakan-akan sudah berikan keyakinan bahawa saya akan menang.” Walaupun lawannya seorang wakil rakyat yang lebih berpengalaman, beliau akhirnya menang majoriti 2,735 undi. Beliau mencatat kemenangan manis di DUN Pasir Bedamar kerana ketika itu DAP kalah banyak tempat di Perak – daripada 9 kerusi UN yang dimenangi pada 1978 kepada empat sahaja pada 1982 – bukan sahaja kerana tawaran saham Multipurpose yang menjadi modal kempen BN tetapi juga petanda sokongan kepada Perdana Menteri yang baru pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad. DAP pada masa itu dilanda krisis dalaman serta tekanan daripada kumpulan pendidikan bahasa Cina yang menyokong BN. Berkhidmat sebagai Adun

“Mungkin kerana bertengkar dengan saya, dia stress, dia kena serangan sakit jantung,” cerita anak Mandailing Perak ini lebih lanjut tentang insiden penggantungan beliau pada hari pertama ke dewan sebagai Adun Pasir Bedamar yang memberi kesan kepada Speaker DUN pada masa itu. Sedikit tersenyum, beliau menambah, ”Saya beberapa kali timbulkan kekalutan dalam dewan. Saya sering bawa isu yang membuat BN kanjal. ‘Kanjal’ dalam bahasa orang Perak bererti terperangkap. Pada masa itu pembangkang di Perak cuma ada empat orang. “Antara isu yang saya suarakan adalah pelepasan cukai terhadap pelabur luar. Pelabur luar diberikan bebas cukai selama tiga tahun dan disambung lagi dua tahun. Kalau minta dilanjutkan, ditambah lagi dua tahun. Semua sekali dalam perkiraan saya ketika itu 10 tahun. “Dalam masa sama ada undang-undang tidak membolehkan menubuhkan persatuan. Pelabur luar tak kena cukai sedangkan rakyat Malaysia, dengan gaji sikit, tetap dikenakan cukai,” jelas beliau.

Kelantangan tokoh DAP Perak itu tidak terhad di dalam dewan. Di luar dewan beliau berdiri di depan jentolak untuk menghentikan penggusuran rumah-rumah setinggan Melayu di Pekan Baru Teluk Intan. “Saya minta penggusuran ditangguhkan untuk mengelak kemudaratan kepada kedua-dua pihak. Saya hantar telegram kepada Menteri Besar untuk tangguhkan dan minta pertimbangan. Akhirnya penduduk yang terdiri daripada 60 keluarga dapat tanah lot untuk buat rumah,” tambah beliau.Sebelum terlibat dalam politik, beliau memang aktif dengan persatuan mahasiswa Malaysia-Indonesia ketika menuntut di negara jiran itu. Beliau turut bergiat dalam persatuan kebudayaan yang digelar Sinaran Sukma. Dari situ, beliau belajar berhadapan dengan audiens. Sebagai wakil rakyat, Fadzlan dikenali dengan kemahiran berpidato yang mana baginya banyak dipengaruhi oleh gaya ucapan Sukarno.

“Sejak kecil lagi saya selalu mendengar ucapan Sukarno yang sering membakar semangat. Ketika itu saya sihat. Saya eksperimen banyak cara berucap. Lompat atas meja dan sebagainya,” jawabnya ketika ditanya gaya persembahan beliau di zaman mudanya.Pengalaman menjadi penterjemah ucapan-ucapan Lim Kit Siang turut memberi beliau peluang menimba pengalaman dalam membuat isi ucapan. Ditanya tentang buku-buku bacaan, antara lain beliau menyebutkan tulisan Karl Marx dan Friedrich Engels, selain buku karya Hamka termasuklah ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’. Ditanya jika beliau menyesal dengan keputusan menyertai DAP, Fadzlan termenung sesaat sebelum menjawab:

“Saya tak menyesal. Itu pilihan saya yang saya dah fikir habis-habis. Kebetulan pada masa itu mak mertua saya sokong. Dia kata buatlah apa yang nak buat, jangan dengar orang lain. Isteri saya turut beri kepercayaan dan banyak menyokong. Saya bersyukur dapat isteri yang dapat faham saya dan sentiasa menyokong tindak tanduk saya walaupun dicemuh orang. Apa lagi bila kita bertanding kalah, jadi bahan depa lah.” Pada PRU 1986, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Pasir Bedamar dengan majoriti 3,178 undi. Namun percubaannya untuk kerusi Parlimen Teluk intan tidak berjaya apabila tewas kepada calon BN dalam pertandingan tiga penjuru. Prestasinya agak baik apabila meaih 13,709 undi berbanding BN 15,152 undi. Walaupun berpindah kawasan ke DUN Lahat pada PRU 1990, Fadzlan berjaya meneruskan kemenangannya apabila menewaskan calon BN dengan majoriti 429 undi. Beliau memperolehi 9,854 undi. Ia merupakan kali terakhir beliau bertanding dalam pilihanraya. Pandangan terhadap situasi dulu

Pada salah satu keping gambar ketika beliau sedang berpidato jelas kelihatan karismanya sebagai seorang ahli politik. “Penduduk kampung ketika itu dikatakan terbahagi kepada tiga kumpulan. Pertama, majoriti anggota UMNO. Kedua, sebahagian kecil anggota PAS. Ketiga, adalah bebas, tak campur mana-mana. “Pada masa sekarang sikap orang Melayu khususnya terhadap isu-isu politik dan parti-parti agak liberal. Dia sanggup duduk dengar kita cakap. Kalau dulu terus hentak meja. “Pemikiran pemimpin Melayu pada masa itu terkongkong dalam masyarakat Melayu dan berkisar pola hidup orang Melayu, khususnya di kampung. Pemimpin Cina pun lebih kurang seperti itu juga. Melihat pembangunan dari segi politik. Saham Multipurpose gagal. Mereka terumbang-ambing. Dalam masa sama tiada kepimpinan tegas yang membangunkan masayarakat Cina, India. Tiada cita-cita besar. “Kebanyakan masyarakat Cina lebih membangun dengan persatuan mereka, bukan dengan tokoh-tokoh politik seperti Melayu. Tengoklah Dewan Perniagaan Melayu Perak. Lembab dan tiada kegiatan. Masing-masing tunggu peluang untuk kaut untung atas angin. Tak peduli pasal masyarakat.

“Kita tengok sekolah-sekolah Cina, dibangunkan sehingga dapat bersaing dengan sekolah kerajaan. Ini semua sebab penglibatan tokoh-tokoh perniagaan, tokoh-tokoh masyarakat. Bukan tokoh politik. Kepimpinan sedemikian lebih banyak memberi manfaat kepada masyarakat. “Saya lihat UMNO adalah sebuah organisasi yang disambung dari pimpinan masyarakat feudal dulu. Masyarakat feudal dulu merupakan tokoh-tokoh tempatan di sesuatu tempat yang terpaksa mendapatkan sokongan ekonomi daripada peluang-peluang yang diwujudkan kerajaan. Itu merupakan tradisi mereka. Tokoh-tokoh UMNO dulu adalah dari orang-orang yang ada kedudukan di istana, yang ada pelajaran dari Inggeris. Bagi saya mereka ini tak boleh lihat kehidupan lain selain kehidupan yang mereka sendiri lalui. Hanya sekadar untuk hidup senang dan berkuasa.” Beliau mempunyai kesedaran politik sebelum universiti lagi dengan berjinak-jinak dengan parti PAS. Tapi entah kenapa, beliau tidak pernah terlintas untuk jadi ahli. Ditanya pandangannya antara PAS dahulu dan PAS hari ini, beliau menjawab:

“Parti PAS ketika itu bersifat nasionalis. Parti sekarang agak terbuka, tapi banyak kepentingan peribadi oleh pemimpin yang buat mereka berpecah. Kita tengok dalam isu Selangor contohnya, Hadi Awang mahu pertahan bekas menteri besar. Seakan-akan ada habuan untuk beliau. Hal ini dapat dihidu oleh ahli PAS lain. Maka mereka yang selama ini menyokong PAS mula rasa tertipu. “Dulu ceramah dia berkisar orang Melayu. Bukan dari segi Islam tapi lebih dari segi nasionalisme. Sekarang lebih cenderung memfokuskan kepada Islam. Hukum Islam, dasar Islam. “ Fadzlan kekal menetap di Perak. Rumahnya agak sunyi ketika kami berkunjung. Tidak ada anak-anak atau cucu kelihatan berlari-lari di halaman rumah. Yang ada seorang isteri yang setia, yang sempat menghidangkan kami dengan minuman petang. Jika menyertai parti politik lain, UMNO misalnya, status bekas wakil rakyat seperti itu akan memastikan sanak saudara jadi begitu rapat. Ya lah, selain habuan, menjadi wakil rakyat UMNO tentunya merupakan sesuatu yang mudah dibanggakan oleh saudara-mara.

Anak sulung perempuannya kini menetap di London dan bekerja sebagai peguam, manakala yang bongsu masih bersekolah. Kedua-duanya tidak menunjukkan minat sebagai ahli politik. Mungkin kerana mengenangkan rutin ayah mereka yang sibuk dan jarang berada di rumah. “Dia orang marah sebab saya jarang ada di rumah. Kadang-kadang mereka ungkit bahawa saya jarang bawa mereka ke supermarket, taman, atau pergi jalan-jalan.“ Itulah harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang pemimpin pembangkang, khususnya DAP yang menjadi mangsa fitnah UMNO-BN sejak zaman-berzaman. Tiada hasil kemewahan, anak isterinya turut merasai suka-duka perjuangan, dan sanak-saudara pula menjauhkan diri. Namun semangat Fadzlan tidak pernah pudar. Cara beliau bercerita tentang pengalamannya dengan wajah yang tenang dan kadangkala selama jelas mencerminkan ketokohan seorang pemimpin.

Diminta berkongsi pandangan tentang DAP hari ini, beliau mengulas, “DAP banyak berubah. Kalau dulu banyak bercakap isu kaum Cina, sehingga terbina satu tembok dan tak dapat keluar dari situ. Sekarang sudah berlainan. DAP lebih banyak berpaut kepada isu-isu nasional yang semua kaum boleh terima. Kata Fadzlan, UMNO mengatakan keperluan kuota untuk seimbangkan perbezaan rakyat Malaysia. Dalam masa sama, dari dulu tajuk utama berita memburukkan DAP dengan mengaitkan DAP sebagai komunis. tambahnya. “Kebanyakan kaum Melayu percaya kepada momokan itu. Dalam diri mereka sudah ditanam tanggapan yang begitu kental sekali. Tapi apa yang boleh kita buat adalah mendampingi mereka secara personal touch. Daripada situ kita kendurkan tangapan yang negatif itu. “Sudah banyak tokoh melayu diketengahkan. ini perkembangan yang sihat dan dapat menzahirkan cita-cita Malaysian Malaysia. Ini penting untuk menghapus imej DAP yang digambarkan lawan sebagai cauvinis cina.

“Kini sudah ada penerimaan terbuka dari kalangan masyarakat Melayu. Usaha ini hendaklah dilanjutkan agar jumlah ahli DAP lebih seimbang. Barulah kita dapat menampilkan satu konsep yang berasaskan Malaysian Malaysia.” Suara Fadzlan turut mencermin perubahan era serta kegigihan DAP yang tak pernah lupa tentang betapa pentingnya semangat sosial demokrasi yang menekankan kepelbagaian kaum. Zaman beliau sudah berlalu namun semangat perjuangan tetap sama. Kini tiba giliran anak-anak muda tampil untuk meneruskan perjuangan ke arah keadilan, demokrasi dan hak saksama yang masih dibelenggu politik perkauman. Fadzlan Yahya menghembuskan nafas terakhir di Ipoh pada 12 September 2016. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak. – Roketkini.com