Perlu Ada Undang-undang Cegah Wakil Rakyat Berpaling Tadah

40 tahun lalu, pada 21 Mac 1978, Saudara Lim Kit Siang yang ketika itu Ahli Parlimen Kota Melaka telah mengemukakan rang undang-undang persendirian yang diberi nama Akta Ahli-ahli Parlimen (Pencegahan Memaling Tadah) 1978.

Ia bertujuan memastikan integriti politik Ahli Parlimen yang menuntut seseorang Ahli Parlimen mengosongkan kerusinya dalam tempoh 30 hari dan memberi laluan kepada pilihanraya kecil sekiranya beliau meletakkan jawatan atau dibuang daripada parti yang memberi tiket untuknya bertanding.

Bagi Kit Siang, undang-undang sedemikian adalah penting bagi memastikan integriti politik wakil-wakil rakyat yang dilantik serta bagi menghalang rasuah politik.

“Apa yang menjijikkan rakyat Malaysia ialah apabila mereka melihat Ahli-ahli parlimen atau Wakil Rakyat yang dipilih atas nama sesuatu parti mengkhianati parti tersebut serta juga kepercayaan rakyat dengan menukar parti. Mereka ini tidak beza dari ‘con-men’. Amalan-amalan seperti ini merendahkan politik dan hanya menguatkan pendapat umum yang’politik adalah kotor’ bilamana orang-orang yang kotorlah yang mengambil bahagian dalam politik untuk membuatkan politik kotor.

“Perkara defection yang dilakukan oleh Ahli-ahli Parlimen daripada parti atas nama mana ia dipilih pada asalnya adalah tidak senonoh dan tidak beretika kerana mereka ini dipilih bukan kerana sifat-sifat peribadi mereka tetapi kerana parti yang mereka mewakili dan amalan-amalan seumpama ini juga membolehkan ahli-ahli politik yang terpilih dibeli dan dijual seolah-olah mereka ini berada di pasar.

“Jika sekiranya seorang Ahli Parlimen yang dipilih meletak jawatan atau disingkirkan daripada parti atas nama mana ia dipilih pada asalnya, maka beliau hendaklah mengosongkan kerusinya dan mengakibatkan pilihanraya kecil diadakan. Jika perletakan jawatan atau penyingkiran itu disebabkan oleh sesuatu prinsip politik yang mendapat sokongan orang ramai, maka Ahli Parlimen berkenaan tidak patut ragu-ragu yang beliau tidak akan dipilih sekali lagi dalam satu pilihanraya kecil.”

“Saya berpegang teguh kepada prinsip di sebalik RUU yang saya perkenalkan di Parlimen 40 tahun lalu, “ujar Kit Siang dalam ucapannya mengenang kembali sejarah 40 tahun lalu.

“Namun, bukan sahaja tidak wujud undang-undang anti-lompat parti di Malaysia, malah terdapat peruntukan perlembagaan bahawa sekiranya seorang Ahli Parlimen atau ADUN meletakkan jawatan untuk sebarang sebab, beliau tidak boleh bertanding semula-suatu pindaan perlembagaan yang saya bantah di zaman 90’an,” ujarnya.

Bagi beliau, harus ada undang-undang anti-lompat parti di Malaysia. Namun sehingga wujud undang-undang sedemikian, kepimpinan politik tidak kira kerajaan atau pembangkang harus menunjukkan contoh integriti politik bagi memastikan sebarang tindakan berpaling tadah oleh mana-mana wakil rakyat bukanlah dilakukan dengan alasan peribadi atau oportunistik, yang akan menimbulkan persoalan integriti.

“Adakah semua Ahli Parlimen ADUN dan pimpinan politik di Sabah yang telah meninggalkan UMNO menjadi wakil rakyat bebas bersedia untuk memohon maaf secara terbuka daripada rakyat Malaysia bagi menebus kesalahan mereka menyokong Najib dan skandal 1MDB sepanjang beberapa tahun lalu”

“Adakah mereka bersedia mengaku untuk menyokong semua usaha untuk mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global menjadi sebuah negara contoh berintegriti sebelum memohon untuk menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan?”

Kit Siang menegaskan bahawa gabungan Pakatan harapan tidak patut membenarkan mana-mana bekas pemimpin UMNO untuk menyertai parti komponennya sehinggalah mereka telah menebus kesalahan mereka menyokong Najib dan skandal 1MDB untuk beberapa tahun lampau.

“Bersekali dengan ikrar terbuka bahawa mereka kini menyokong tujuan mengubah negara daripada sebuah kleptokrasi global menjadi sebuah negara contoh berintegriti.”

Senator Lim Hui Ying, dari mana mahu ke mana?

Ceritakan latar belakang saudari dan sejarah penglibatan dalam politik; Saya dilahirkan pada tahun 1963, di Singapura. Ketika itu ayah saya bekerja sebagai wartawan New Straits Times. Tiga tahun kemudian, kami sekeluarga pulang ke tanah air dan menetap di Petaling Jaya; apabila beliau membuat keputusan untuk menjadi setiausaha politik Devan Nair. Tiga tahun berikutnya, ketika tragedi 13 Mei tercetus dan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di kem tahanan Muar; kami sekeluarga memutuskan untuk kembali ke Batu Pahat, kampung halaman ibu bapa saya. Di sana sanak saudara ibu saya ramai, dan jarak ke Muar tidak begitu jauh. Sekitar 45 minit.

Maka lebih mudah untuk ibu saya dengan empat orang anak yang masih kecil untuk bertemu dengan ayah saya yang masih dalam tahanan. Pak cik saya akan membawa kami ke Muar setiap hujung minggu untuk melawat ayah. Jadi selama lima tahun saya menetap di Batu Pahat, saya mendapat pendidikan awal di sana. Tahun 1975 kami berpindah ke Melaka apabila ayah saya menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka. Di sini saya menyambung persekolahan di peringkat menengah dan kami terus menetap di sana selama 15 tahun. Sementara itu saya melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya sehingga graduasi pada tahun 1987.

Pada pilihanraya tahun 1986, ayah saya telah berjanji dengan pengundi Tanjong(Pulau Pinang) bahawa beliau akan berpindah ke sana. Takdir menentukan Ops Lalang berlaku dua tahun kemudiannya, kedua-dua ayah dan abang saya ditahan di Kamunting. Memandangkan Pulau Pinang terlalu baharu untuk ibu saya maka kami tak jadi pindah dan terus menetap di Melaka. Kami hanya berpindah ke Pulau Pinang apabila kedua-duanya bebas pada tahun 1989. Kami masih menetap di sana sehingga sekarang. Saya membesar dalam suasana politik. Ketika meningkat usia dan memahami persekitaran, ayah saya sudah pun giat berpolitik. Pun begitu saya hanya menyertai parti pada tahun 1999.

Kenapa buat keputusan untuk menyertai parti pada tahun itu? Ketika Guan Eng menyertai politik, beliau berdepan masalah dilabel sebagai anak lelaki Lim Kit Siang. Jadi saya sedikit tertahan-tahan. Saya tidak kisah membantu tapi saya sebenarnya saya hanya membantu ayah saya. Saya betul-betul terlibat dalam politik pada pilihanraya umum tahun 1999, di mana ayah saya bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera dan DUN Kebun Bunga; dan beliau tewas di kedua-duanya. Selepas dikaji, parti mendapati bahawa kekalahan yang berlaku disebabkan kurangnya gerakerja organisasi. Ketika itu saya buat keputusan untuk terjun dan bergiat secara aktif.

Mendiang Karpal Singh juga tewas dalam PRU itu, lalu meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP negeri Pulau Pinang. Beliau digantikan dengan Sdr Chow Kon Yeow yang ketika itu menjadi setiausaha. Perubahan itu memberi ruang kepada saya ditarik masuk ke dalam jawatnkuasa negeri. Selain mengepalai program-program mencari dana untuk parti, saya mulakan ‘Rocket Taskforce’ untuk menjual akhbar parti di rumah-rumah pangsa, pasar-pasar, di medan selera; menjual The Rocket dari meja ke meja. Ketika itu memang ada banyak tentangan. Kita cuma ada satu kerusi DUN. Pada pilihanraya tahun 2004, saya ikut berkempen di Ipoh Timur.

Ketika Tsunami pertama melanda pada Mac 2008 dan kemudian 2013, apa yang saudari lakukan? Ketika Lim Guan Eng membuat keputusan untuk bertanding di Pulau Pinang, kewangan parti tidak begitu kukuh. Saya menghabiskan masa untuk membantunya berkempen di DUN Ayer Putih, sebuah kawasan kubu kuat parti Gerakan. Dalam keadaan kewangan yang mencabar dan berhadapan kubu kuat Gerakan; kita berjaya mengambil alih kerajaan Pulau Pinang.

Pada PRU 2013, saya menjadi pengarah pilihanraya. Bagi saya itu suatu pengalaman yang menyeronokkan. Saya menerima banyak sokongan daripada jawatankuasa negeri, yang ketika itu saya menjadi setiausahanya sehingga kini. Dan meskipun ketika itu, Guan Eng adalah Ketua Menteri dan Setiausaha Agung, beliau tidak masuk campur dalam urusan jawatankuasa negeri. Apa sahaja keputusan parti di peringkat negeri akan dituruti oleh ketua menteri tanpa bantahan. Apa sebenarnya yang mendorong saudari untuk menyertai politik? Adakah sebab semua orang pun sudah masuk politik maka saudari tidak mahu ketinggalan?

Saya cuma mahu membantu parti. Ketika Lim Kit Siang tewas pada tahun 1999, saya terus buat keputusan untuk membantu parti. Bukan sahaja kita memerlukan calon yang kuat, tetapi juga pasukan yang kuat untuk menang pilihanraya. Kalau seorang ikon seperti Lim Kit Siang juga boleh tewas dan bukanlah kerana faktor peribadinya sendiri; maka harus disedari bahawa kita tewas kerana kelemahan dari sudut organisasi. Dari situ kita terus bekerja. Saya cuba untuk tidak terlalu terampil, tetapi akar umbi rasanya sudah kenal benar dengan saya mengatur konvensyen negeri, majlis makan malam dan acara-acara lain.

Namun akar umbi tidak memandang saya sebagai anak Kit Siang atau adik Guan Eng. Mereka lihat saya sebagai seorang individu, setiausaha DAP negeri Pulau Pinang. Mungkin mereka yang di luar Pulau Pinang tidak melihat sudut pandang itu. Saya tidak boleh mengubah identiti diri. Sokongan padu daripada Sdr Chow juga mendorong saya untuk maju terus ke platform seterusnya, setelah parti berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya bersama rakan-rakan Pakatan Harapan. Saya sedikit bergelut saya tahu apa orang kata, tetapi apa yang penting ialah prestasi. Jadi saya teruskan sahaja. DAP tertubuh ketika saudari berusia tiga tahun. Apakah perubahan paling ketara dari pendapat saudari sepanhang tertubuhnya DAP sehingga sekarang?

Saya membesar mengenali pemimpin-pemimpin vateran parti termasuk Lee Lam Thye, Fan Yew Teng, dan apatah lagi Dr Chen Man Hin. Mereka sangat hampir dengan keluarga kami. Mesyuarat parti pun berlangsung di rumah. Sudah banyak perubahan berlaku dari segi kepimpinan parti, dan sudah banyak krisis yang dilalui, termasuk gerakan menjatuhkan Kit Siang sendiri. Namun impian yang digambarkan oleh Kit Siang adalah antara faktor saya masih lagi bergiat cergas dalam parti. Impian itu tidak pernah berubah. Setiap kali kita mengeluh keletihan saya selalu mengajak rakan-rakan agar memikirkan tentang Lim Kit Siang. Beliau tiada alasan untuk berhenti daripada perjuangan panjang ini. Keazaman yang beliau tunjukkan adalah antara perkara yang amat saya kagumi. Beliau tidak kenal erti putus asa.

Kini, nampaknya impian itu sedang menjadi nyata. Pastinya masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan. Ini baru permulaan kepada banyak lagi tugas yang harus dipikul.

Sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Pulau Pinang, saya pastinya akan membawa isu-isu negeri dan rakyat. Selain itu, saya juga sangat berminat dengan isu-isu berkenaan wanita dan kanak-kanak dan perkara-perkara ini pasti akan saya bangkitkan di Dewan Negara. Quo vadis DAP dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi? Kita sedang bergerak di landasan betul. Namun supaya gabungan Pakatan Harapan dapat berfungsi dengan baik, pastinya jalan itu tidak mudah, tidak lancar dan banyak dugaannya.

Namun bagi saya, DAP dengan barisan kepimpinannya yang unik; ramai daripadanya datang dari latar yang tiada apa-apa; sekiranya DAP harus kembali ke asalnya yang tiada apa-apa, kita masih boleh melakukannya. Jika suatu hari nanti rakyat menolak kita dan DAP kembali menjadi parti pembangkang, kita akan mampu bertahan. Kita akan terus berjuang. Kerana itulah asal-usul kita. Kerana itulah juga kita memahami derita yang ditanggung rakyat. Kita di sini hanyalah untuk memastikan negara menjadi lebih baik untuk semua.

Jurnal Nature senaraikan Yeo Bee Yin antara 10 individu paling penting tahun ini

Nature, jurnal saintifik terkemuka antarabangsa menyenaraikan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Yeo Bee Yin sebagai salah seorang individu paling penting tahun ini.

Jurnal yang mula diterbitkan pada tahun 1869 itu, menyenaraikan Bee Yin di tangga ketujuh senarai tersebut sambil menyifatkan beliau sebagai juara alam sekitar menentang pencemaran plastik.

Graduan Cambridge tersebut dilantik Tun Dr. Mahathir menyertai jemaah menteri Malaysia Baharu, bermula awal Julai lalu dan telah mengambil banyak langkah berani ke arah penambaikan pengurusan alam sekitar serta sains dan teknologi. September lalu, kerajaan menyasarkan untuk menghentikan penggunaan plastik pakai buang menjelang 2030, menjadi Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara mengambil langkah berani terhadap pencemaran plastik.

Sebulan kemudian, kerajaan mengehadkan import plastik yang mengakibatkan meningkatnya bilangan loji kitar semula haram di rantau ini.

Bukan itu sahaja, Bee Yin turut tegas melaksanakan amanahnya dengan membatalkan empat kontrak pengeluar tenaga bebas yang hampir pasti akan diusahakan oleh syarikat arang batu.

Bee Yin turut tidak gentar untuk berdepan dengan syarikat Lynas yang sehingga kini masih berdalih tentang sisa radioaktif di Gebeng, Kuantan; malah bersedia untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Anak kelahiran Segamat berusia 35 tahun ini, membesar di tengah-tengah estet Gomali di mana ibunya bekerja sebagai kerani. Beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas sebelum melanjutkan pengajian ke universiti Cambridge di bawah Biasiswa Cambridge-Gates.

Kembali ke Malaysia, Bee Yin terlibat langsung dalam kempen media sosial DAP sekitar tahun 2012, sebelum menjadi calon dan menang di kerusi DUN Damansara Utama pada PRU ke-13. Beliau kini menyandang kerusi Parlimen Bakri.

Hasrat rakyat dikhianati jika terus terima bekas pemimpin UMNO

Tindakan menerima bekas pemimpin UMNO menyertai komponen Pakatan Harapan (PH) akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen gabungan parti pemerintah itu untuk melaksanakan agenda reformasi dan perubahan.

Menurut Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh tindakan itu juga membelakangi hasrat rakyat yang mengundi PH bagi menghantar UMNO-Barisan Nasional (BN) ke bangku pembangkang.

“Lagi PH layan pihak-pihak yang melompat ini, lagi bertambah kecewa rakyat terhadap PH.

“Perubahan tidak hanya bermaksud mendakwa bekas perdana menteri dan timbalannya dengan pelbagai tuduhan, namun apa yang lebih penting adalah menghapuskan dasar dan membanteras rasuah yang sejak sekian lama di bawah pentadbiran UMNO sedekad lalu.

“PH tidak memerlukan bekas wakil rakyat UMNO. Ia perlukan lebih ramai lelaki dan wanita yang berpegang kepada prinsip bagi meneruskan agenda murni reformasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengenai pemimpin UMNO keluar partii bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Media melaporkan hampir semua pemimpin UMNO Sabah bertindak keluar parti, sementara bekas Ketua Puteri UMNO, Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan menyertai Bersatu selepas hampir enam bulan menjadi wakil rakyat bebas.

Mengulas lanjut, Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata Dr. Mahathir harus menangani rasa tidak puas hati rakyat terhadap tindakan PH menerima penyertaan bekas wakil rakyat rakyat UMNO.

“Untuk menerima mereka menyertai PH sekarang merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat yang mahukan perubahan sebenar.

“Saya tertanya-tanya jika PH ditakdirkan kalah pada pilihan raya seterusnya, adakah wakil rakyat kita akan melakukan perkara serupa dan dengan mudah melompat ke pihak lawan?” soalnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Ronnie Liu merujuk kenyatan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu yang mengelar pemimpin UMNO sebagai’ tidak berguna’ dan ‘sampah’ pada mesyuarat sebelum PRU14.

“Jika mereka sampah yang tidak berguna, saya sangat berharap yang anda tidak jadi pengutip sampah dan terima mereka masuk Bersatu,” kata Ronnie yang juga ADUN Sungai Pelek seperti dilapor media.

Apa punya manusia, Tabung Haji pun mereka noda

Oleh DATUK A KADIR JASIN

Berita buruk yang luar biasa mengenai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak memeranjatkan lagi.Sejak Pakatan Harapan(PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada BN pada 9 Mei lalu, satu demi satu skandal terbongkar.Semakin hari apa yang ditakuti semakin menjadi kenyataan iaitu bawah telunjuk bekas perdana menteri, Datuk Sei I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, kerosakan berlaku secara sistematik dan meluas.

1MDB,Felda,FGV dan sekarang Tabung Haji (TH). Daripada apa yang kita dengar senarai ini akan menjadi lebih panjang.Felda tenat kerana Mohd Najib atas nasihat konco-konconya yang tamak, menjual harta Felda dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) melalui Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada tahun 2012. Tujuan tersiratnya adalah mengumpul dana untuk pilihanraya umum 2013 bagi pihak BN sambil mengisi kocek konco, kawan dan rakan.

Ladang dan aset Felda yang dulunya digunakan untuk menjana pendapatan tambahan bagi membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh dipindahkan kepada FGV.Oleh sebab kaedah korporat yang tidak lestari serta penyelewengan oleh pengurusan, harga saham FGV jatuh merudum-daripada harga IPO RM4.55 daripada 77 sen sekarang- dan ia gagal menjana pendapatan tambahan untuk Felda.

Akibat manipulasi korporat melalui FGV inilah Felda mengalami kerugian besar dan hilang kemampuan untuk membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh.Sebaliknya Felda kini terpaksa menjalani proses pembersihan dan pembinaan semula.

Giliran Tabung Haji

Sekarang giliran TH pula. Apa lagi hendak kita katakan apabila tabung simpanan untuk mengerjakan haji dan memperkukuhkan ekonomi umat Islam pun dinodai?Buat sekian lama, kita mendengar berita dan dakwaan mengenai penyelewengan dan pelanggaran usrus tadbir dalam TH, khususnya apabila orang kesayangan keluarga Najib, Abdul Azeez Abdul Rahim dilantik menjadi pengerusi pada bulan Julai 2013.

Tetapi semuanya dinafikan dan orang yang membuat pendedahan dikutuk dan dikenakan tindakan. Media massa arus perdana turut bersubahat menghebahkan yang salah dan membenamkan yang benar.

Daripada kenyataan media Dr Mujahid Yusof menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2018, kita dapati sebaik saja Abdul Azeez menerajui TH, pelanggaran urus tadbir mula berlaku.

Dasar duit tunai adalah raja (cash is king) atau lebih tepat amalan menggunakan duit tunai bagi membeli undi mula diamalkan dengan membelakangkan undang-undang tubuh TH sendiri.

Hibah (Dividen) diisytiharkan dan dibayar walaupun tidak memenuhi syarat. Sejak tahun 2014 hingga tahun kewangan 2017, hibah dibayar walaupun dua syarat wajib tidak dipenuhi.Dua syarat wajib itu adalah (1) aset (harta) tidak boleh kurang daripada liabiliti (hutang) dan (2) ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Inilah yang diingatkan oleh Zeti Akhtar Aziz ketika beliau menjadi Gabenor Bank Negara. Dalam surat kepada pengurusan TH pada tahun 2015, Zeti memberi ingatan bahawa TH tidak lagi boleh membayar hibah kerana hutangnya melebihi harta. Masa itu nisbahnya adalah 98 sen harta bagi setiap RM1 hutang.

Namun begitu, bukan saja peringatan sukarela beliau itu tidak dihiraukan sebaliknya disanggah oleh para penyokong dan pengilap apel Najib seperti ketua peuda UMNO sekarang Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Syukur pada Tuhan pintu hati saya dibuka untuk membantah pelantikan Abdul Azeez dalam tulisan-tulisan saya kerana saya tahu sedikit sebanyak sejarah TH dan kenal siap Abdul Azeez.

Kewangan TH

Akaun tahun kewangan 2017 TH yang dibentangkan di Parlimen menunjukkan aset keseluruhan TH sebanyak RM70.3 bilion manakala liabiliti (hutang/tanggungan ) RM74.4 bilion. Ini bermakna TH mengalami defisit (kekurangan) RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Sehubungan itu, kata Dr Mujahid, pengisytiharan dan pembayaran hibah bagi tahun 2017 ( yang dibuat Februari lalu) melanggar Akta Tabung Haji 1995.
Najib ketika itu mengalu-alukan pengisytiharan hibah itu dilaporkan berkata bahawa kecekapan pengurusan Th membolehkan kadar yang lebih tinggi dibayar.
Kata Mujahid; “TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti.”

“Berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH,” tambah beliau.

Inilah yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah dan pengurusan baru TH yang dilantik oleh kerajaan PH mulai Julai lalu. Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengembalikan TH ke landasan kewangan dan pengurusan haji yang betul dan lestari.

Pemerhatian

Izinkan saya membuat pemerhatian ringkas. Rasanya amat sesuai bagi kerajaan dan pengurusan TH membaca balik dokumen dan sejarah TH mulai 1963.Ada dua tujuan utama TH ketika itu. Pertama mengurus pengerjaan haji oleh orang Islam Malaysia dan kedua memudah serta menggalakkan orang Islam menabung.

Pertama, saya tidak pasti apa peranan subsidi haji dan kegiatan pelaburan TH. Apakah kaitan penunaian haji dengan subsidi kalau kewajipan haji adalah ke atas orang yang mampu sahaja?

Kedua mengenai kegiatan pelaburan yang nampaknya menjadi keutamaan dan kegilaan pengurusan TH. Adakah ini matlamat TH?

Harus ada perbezaan di antara menabung untuk mengerjakan haji dengan melabur. Serentak itu, kita tidak mahu orang Islam menabung sekadar untuk melayakkan diri mendapat subsidi.

Justeru itu, isu subsidi haji dan pelaburan ini wajib dikaji semula dan difahami di segi agama dan perniagaan. Adakah TH agensi perniagaan yang matlamatnya keuntungan atau agensi pengurusan haji dan penabungan?

Pelan Pemulihan

Menurut Dr Mujahid lembaga pengarah TH telah mencadangkan rancangan pemulihan yang membabitkan peubuhan sebuah badan khas-speial purpose vehicle atau SPV.

SPV ini akan ambil alih, pulihkan dan memaksimumkan nilai harta TH yang sekarang rendah prestasinya. Dengan itu, beban hutang TH dapat dikurangkan atau dimansuhkan terus.

Kata Dr Mujahid pelan itu telah diteliti dan diberi sepenuh sokongan oleh kabinet. Selaras dengan itu, kerajaan telah bersetuju meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara.

“Bagi memastikan pelan jangka panjang yang mapan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019,” kata Dr Mujahid.

Dulu lain, sekarang lain. Sewaktu TH diasaskan pada tahun 1963, niatnya suci dan orang yang dilantik bagi menguruskannya terdiri daripada orang yang kepakaran dan amanah. Bukan jenis cium tangan.

Masa itu perdana menteri , almarhum Tunku Abdul Rahman Putera tidak berpura-pura tunjuk alim . Orang Islam pun belum tergila-gila berjubah macam orang Arab, tetapi mereka ikhlas dan amanah.

Kesimpulannya dalam kita berusaha memulihkan TH, kita hendaklah kembali ke pangkal jalan bagi memahami dan menghayati tujuan asal penubuhannya.

Kita perlu pastikan sama ada melabur, membuat keuntungan, membayar hibah dan memberi subsidi adalah sebahagian daripadanya.

TH rosak kerana melantik orang yang tidak amanah dan tidak berpengetahuan atau juga kerana terlalu mengejar keuntungan seolah-olah ia adalah badan perniagaan.

Mulai sekarang lebih kita pagar sawah bendang kita daripada asyik marahkan pagar. Menang tabiat semula jadi burung pegar makan padi. Kalu kita harapkan pegar menjaga padi, menang bodohlah kita.