Nga Kor Ming beri RM1.6 juta kepada Masjid Al Taqwa

( 15/10/18)

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming hari ini menyerahkan peruntukan besar RM1.6 juta kepada masjid Al Taqwa di padang tembak, Teluk intan demi membantu pihak masjid menyelesaikan masalah pemendapan tanah masjid yang telah berlarutan lebih 10 tahun. Kor Ming yang juga merupakan Pengerusi DAP Perak hari ini melawat Masjid tersebut untuk kali kedua & menyerahkan peruntukan besar ini kepada jurutera JKR Daerah Hilir Perak Hj Abdul Rani yang turut disaksikan oleh jawatankuasa jemaah masjid tersebut.

Kedatangan Kor Ming disambut mesra oleh pihak masjid & jemaah masjid berasa amat bangga kerana Ahli Parlimen DAP ini cukup prihatin dengan kesejahteraan & kebajikan jemaah masjid sehingga berjaya mendapat peruntukan yang begitu besar dari kementerian kewangan demi membantu pihak masjid. Kor Ming berkata, peruntukan RM1.6 juta ini adalah kelulusan khas oleh Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng yang cukup prihatin selepas beliau memberitahu YB Menteri berkenaan dengan masalah masjid tersebut yang memerlukan tindakan segera. Kelulusan dalam masa singkat ini membuktikan kerajaan Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan yang tolak perkauman & mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Kor Ming juga berkata, projek ini akan dijalankan secara tender terbuka & beliau menggesa pihak JKR memastikan setiap sen peruntukan ini digunapakai dengan optima supaya tidak berlaku sebarang pembaziran & ketirisan. Turut hadir bersama Kor Ming ke masjid tersebut termasuk ketua Amanah Teluk Intan Ustaz Khabir, Setiausaha sulit kanan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Tan Tiong Yih, Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan Woo Kah Leong, Teh Ang Kang, Anamalai, Muthu, Loo Yee Wen, madam Ong dan ADUN Pasir Bedamar YB Terence Naidu dan lain-lain.

Pimpinan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Teluk Intan terus turun padang berkhidmat demi warga Teluk Intan.

Pimpinan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Teluk Intan terus turun padang berkhidmat demi warga Teluk Intan.Dengan mewakili Ahli Parlimen Teluk Intan, Penyelaras Parlimen Teluk Intan Woo Kah Leong telah menghulurkan bantuan kepada keluarga miskin tegar di Batak Rabit, warga Rumah Titian Ashraful Rohaniah yang mengalami banjir, keluarga Sabaiyah yang baru sahaja menjalani pembedahan di hospital, keluarga Ahmad Nor di Kampung Selabak yang memerlukan wang sumbangan untuk membaiki atap rumahnya, serta peniaga Muhammad Nor di Kampung Bahagia yang perlukan dermaan untuk membaiki gerainya yang rosak akibat musibah angin.

Pasukan YB Nga Kor Ming turut melawati keluarga banjir di kawasan Sungai Tungku dan berkesempatan memberikan dana sumbangan kepada tiga isi keluarga di Lorong Asrani Batu 6. Syabas kepada pimpinan pasukan YB Nga Kor Ming yang terus berkhidmat untuk rakyat Teluk Intan!

Ibrahim Singgeh : Nasionalis Melayu Berjiwa Malaysia

Ibrahim Singgeh mungkin merupakan satu nama yang asing bagi pemerhati politik masa kini. Namun, nama itu mencatatkan sejarahnya yang tersendiri, walaupun tidak pernah disebut dalam mana-mana buku teks sejarah yang rasmi, sama ada di sekolah atau di pusat pengajian tinggi di negara ini. Dengan itu, di kalangan orang Melayu sendiri, nama itu menjadi terasing walau sumbangannya amat besar dalam perjuangan menentang penjajah British. Pada 1969, beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang pertama di kalangan orang Melayu bagi DAP. Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tapah Road apabila mendapat 3,319 undi berbanding saingannya daripada Perikatan yang memperolehi 2,986 undi; calon PAS pula hanya mendapat 753 undi. Ia adalah kejayaan cemerlang untuk dirinya serta DAP yang kali pertama bertanding Pilihanraya Umum. Kewujudan Barisan Nasional pada 1974 pula yang membawa parti-parti pembangkang utama menyertai komponen Perikatan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak memberi kesan besar kepada pembangkang yang ada pada masa itu, terutamanya DAP dan PSRM (iaitu Parti Rakyat yang ditukar nama kepada Parti Sosialis Rakyat Malaya pada 1968).

Ini termasuk dengan faktor ketakutan di kalangan pengundi yang diracuni fikiran mereka oleh media yang dikuasai kerajaan agar tidak memilih pembangkang demi mengelakkan berulangnya tragedi 13 Mei 1969 sebelum itu. Dengan itu, pembangkang mengalami kekalahan teruk dalam PRU 1974. Ibrahim yang diberi penghormatan bertanding kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN telah gagal dalam percubaannya. Beliau tewas di kerusi Parlimen Tanjung Malim dan DUN Chenderiang. Namun di sebalik kekalahan itu, PRU 1974 mencatat sejarah penting kepada DAP, khususnya di Perak, kerana meletakkan sebegitu ramai calon Melayu. Sejarah itu kini cuba dipadamkan oleh pemimpin dan pencacai UMNO yang takut menerima hakikat bahawa DAP adalah parti pelbagai kaum yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama. Pada PRU 1974, seramai 14 daripada 33 calon DAP yang bertanding bagi DUN Perak adalah orang Melayu, dan Ibrahim sendiri diputuskan pucuk pimpinan DAP sebagai bakal menjadi Menteri Besar jika kerajaan baru berjaya dibentuk di negeri itu. Selain Ibrahim, nama-nama tokoh DAP dari kalangan Melayu yang turut bertanding dalam PRU 1974 adalah Daeng Ibrahim Othman, Fadzlan Yahya dan Salleh Nakhoda Hitam. Warga wanita juga mendapat penghormatan apabila Zaharah Ibrahim diletakkan bertanding dengan Tan Sri Ghazali Jawi di DUN Kenering – Ghazali menang dan dilantik menjadi Menteri Besar Perak (untuk kali kedua) pada 1974.

Bagaimanapun, tiga tahun kemudian Ghazali telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan mengosongkan kerusi DUN Kenering. Jadi, pada 1977, satu Pilihanraya Kecil diadakan di mana Ibrahim mencuba nasibnya tetapi gagal apabila tewas kepada calon BN, Tajol Rosli, yang merupakan anak Ghazali. Tajol Rosli kemudian menjadi Menteri Besar Perak pada 1999 – 2008. Beliau mencuba lagi dalam PRU 1978 bagi DUN Tapah tetapi sekali lagi gagal. Pada masa itu usia beliau sudah mencecah 60 tahun. Percubaan terakhirnya bertanding ialah dalam PRU 1982 bagi DUN Batang Padang yang turut gagal mencapai kemenangan. Selepas itu, beliau masih bergerak aktif dengan parti tetapi tidak lagi bertanding, khususnya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Ketokohannya di Perak, walaupun tidak tersebar di mana-mana media yang dikuasai pemerintah, membuatkan ramai pemimpin DAP teruja dengannya. Seperti yang ditulis awal tadi, menjelang PRU 1974, Lim Kit Siang pada 21 Julai telah mengumumkan bahawa:

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP telah memutuskan untuk bertanding hampir kesemua kerusi di Perak, dan jika ditakdirkan DAP membentuk Kerajaan Negeri Perak, saudara Ibrahim bin Singgeh, selaku Timbalan Setiausaha Agung dan Adun Tapah Road, akan menjadi Menteri Besar Perak.” Menghimbau kembali sejarah perjuangannya, kita tidak dapat mengelakkan diri daripada mengaitkan semangat nasionalisme Melayu di Malaya yang timbul dari negeri Perak. Nama Ibrahim sebaris dengan nama-nama pejuang nasionalis Melayu yang juga anti-penjajah serta pejuang kemerdekaan yang berasal dari Perak seperti Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Abu Bakar Baqir, Abdullah CD, Rashid Maidin, Profesor Zulkifli Muhammad dan ramai lagi. Menurut anak-anaknya, Ibrahim dilahirkan di Kampung Banir, Tapah pada 1918. Selepas bersekolah di Tapah, beliau mencari nafkah sekitar Perak dan seketika kembali ke watan bapanya di Sumatera sebelum Perang Dunia Kedua. Sejurus selepas pendudukan Jepun sekitar 1942, beliau kembali ke Perak dan bergiat dalam politik anti-Jepun dengan menyertai Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA). Semangat nasionalisme begitu berkobar-kobar sehingga beliau terus menyertai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestaman ditubuhkan pada 1946. API lantang dengan slogan “Merdeka Dengan Darah”. Pada masa itu, selain API serta badan induknya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), dan Parti Komunis Malaya, tiada parti lain yang berani menuntut kemerdekaan penuh daripada penjajah British.

Harga yang terpaksa dibayar kerana keberaniannya itu, Ibrahim ditahan tanpa bicara oleh penjajah British apabila Darurat diisytiharkan pada 1948. Lima tahun lamanya beliau meringkuk di dalam penjara. Selepas dibebaskan, bukan sahaja beliau tidak serik, malah semangat perjuangannya semakin kental. Beliau memilih jalan yang jarang menjadi pilihan pejuang Melayu, iaitu bergerak aktif dalam pergerakan buruh. Pada masa itu lebih ramai orang Melayu terikat dengan sistem pertanian yang bersifat feudal berbanding kaum-kaum lain yang dibawa oleh British untuk sektor-sektor perlombongan, perladangan dan bidang-bidang pekerjaan kolar biru yang lain. Daripada kesatuan pekerja buruh lombong di Perak, beliau dilantik memegang jawatan bahagian penerangan dalam pertubuhan buruh terbesar pada masa itu, Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU). Apabila Ahmad Boestamam – yang turut ditahan British pada 1948 – dibebaskan daripada tahanan tanpa bicara selepas tujuh tahun, beliau menubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM) pada 1955. Ibrahim menyertainya untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan melawan British, serta UMNO dan Perikatan yang didukung oleh British. Pengalamannya bersama dengan PRM, serta sewaktu dengan MPAJA ketika pendudukan Jepun, telah awal-awal lagi membuka mata dan mindanya untuk bersama kaum-kaum Cina dan India menuntut hak dan kemerdekaan. Bersama PRM yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buruh untuk membentuk Front Sosialis selepas Merdeka, beliau berjuang atas dasar sosialisme dan nasionalisme, dan politik kaum.

Sekitar pertengahan 1960-an, Ibrahim meninggalkan PRM. Mungkin ia berkaitan dengan masalah dalaman parti di mana golongan muda yang tidak sebulu lagi dengan Boestamam sebagai pemimpin mereka – dan Boestamam pula menubuhkan parti yang baru pada 1968. Bagi Ibrahim, beliau tidak bersara daripada politik. Sebaliknya, beliau diajak rakan-rakan politik daripada parti lain untuk bersama mereka. Yang menjadi pilihan beliau adalah DAP. Dalam pertemuan The Rocket/Roketkini dengan dua anaknya, Rohani, 71, dan Rusmawaty, 56, mereka berkongsi pengalaman bapa mereka yang membawa rentetan sejarah perjuangan yang panjang serta penuh suka duka dan pahit manis. Wawancara ini juga diadakan di rumah Ibrahim di Kampung Banir yang menjadi kediamannya sejak lahir. “Selepas dia tak aktif lagi dengan PRM, ayah pulang ke kampung. Dia kembali menoreh getah. Walaupun begitu, dia tetap baik dengan Boestamam. Kemudian Ahli Majlis Tapah, Loh Jee Mee ajak ayah masuk DAP. Dia ajak ayah bertanding pilihan raya. Ayah kata pada Jee Mee, ‘aku memotong getah, mana ada duit nak bertanding’. Kalau kamu sanggup, kata Jee Mee, aku carikan wang untuk bertanding. Masa itu kerusi Parlimen Batang Padang milik UMNO,” cerita Rohani. Tambah beliau, heboh seketika kerana “Ibrahim masuk parti Cina” tetapi kebetulan mood rakyat pada PRU 1969, termasuk kemarahan pada UMNO lantaran krisis kepimpinan Tunku Abdul Rahman, yang tidak puas hati dengan kerajaan Perikatan, maka DAP yang diwakili Jee Mee berjaya menewaskan UMNO di kawasan Parlimen Batang Padang manakala Ibrahim pula menang di DUN Tapah Road. Menjadi wakil rakyat

Selepas menjadi ADUN, ramai yang datang meminta bantuan, termasuk golongan yang tidak menyokongnya, tambah Rohani yang pada masa itu usianya sudah 20-an di mana dia meluangkan masa menemani bapanya ke majlis-majlis serta mesyuarat, dan juga sewaktu penamaan calon. “Oleh kerana selepas PRU 1969 berlaku peristiwa 13 Mei, ada orang tuduh pembangkang yang cetuskan pergaduhan. Ayah senang saja jawab. Katanya takkanlah orang yang menang nak cari gaduh. Tentulah orang yang kalah buat hal. Ramai juga orang terima hujah dia.” Rusmawaty juga mengingati bahawa bapanya mesra dengan penduduk, suka menolong orang kampung. Sehingga anak-anaknya sendiri bengang kerana jarang mereka dapat rehat sekeluarga kerana rumah mereka menjadi tumpuan orang kampung bertemu dengan wakil rakyat mereka. “Masa itu mana ada pondok telefon di kampung. Ayah pasang telefon untuk orang kampung guna bagi hal-hal penting seperti sakit nak ke hospital atau apabila ada kematian.” Malah, katanya, bapa mereka pernah menjelaskan bahawa telefon di rumah mereka khas untuk orang kampung, dan bukannya milik keluarga, walaupun beliau yang membayar bil. Sampaikan orang yang tidak sokong DAP pun dijaganya dengan baik.

“Kerana itulah dia tak ada apa harta pun tinggal…Inilah harta, anak-anak dia. Kamilah ini. Lihat rumah ini, dulu dindingnya kulit kayu. Rumah macam nak runtuh. Bila saya tanya ayah, mengapa tak buat rumah baru, dia jawab, ‘ayah mana ambil duit, tambahan pula kita pembangkang, mana ada duit; UMNO yang banyak duit’.” Ditanya sama ada mereka kecewa dengan sikapnya yang tulus tetapi tiada berharta itu, Rusmawaty berkata: “Eh, kami tak marah, kami sederhana. Kalau kaya pun susah juga nanti.” Tambahnya, pencen sebagai wakil rakyat sedikit-sebanyak membantu keluarga mereka. Cerita Rohani pula yang membahasakan dirinya sebagai kakak dalam wawancara ini: “Masa ayah menang PRU 1969, di rumah inilah, pukul 2 pagi orang UMNO datang nak beli dia. Nak beli ayah kakak dengan harga RM50,000. Dijanjikan mereka, ‘kami lantik kau sebagai Exco di Perak, rumah pun ada.’ Tapi ayah jawab dia tak mahu, dia bukan macam katak nak lompat-lompat. Kalau itu pegangannya, yang itulah sampai mati.” Menurut kedua-dua anaknya itu, Ibrahim memang berpengaruh di Tapah dan Tanjung Malim, bukan sahaja di kalangan kelas pekerja Cina tetapi juga dengan orang Melayu di kampung-kampung di sana. Walaupun tidak menang sejak 1974, aktiviti beliau bersama rakyat tetap berterusan, termasuk bersama-sama dalam ceramah dan mesyuarat DAP di Perak dan di peringkat nasional.

Bagi Rohani, bapanya adalah seorang pemimpin yang berani bersuara tanpa berselindung. Memang sifat beliau suka berterus-terang, jujur dan amanah. “Dia macam tu lah. Kalau apa-apa orang susah, dia tolong. Dia betul-betul pegang jawatan wakil rakyat. Mana-mana surau yang tak ada api (elektrik), dia bagi seorang, satu tin minyak gas. Mana yang tak ada lampu, dia bagi satu tin minyak gas untuk bertadarus di surau.” Malah, katanya, dalam keadaan uzur pun bapanya tetap menghadiri program ceramah DAP pada dekad 1990-an. “Dia dah uzur, tak sihat. Tapi orang minta juga dia berucap. Dia pergi, dia memang gigih orangnya. Orang tua yang gigih, bersemangat.” Menurut Rusmawaty, adik-beradik mereka yang ramai – daripada Rohani hingga ke adik bongsu mereka Ahmad Khairuddin yang kini berusia 53 tahun – mereka merupakan anak-anak hasil perkahwinan Ibrahim dengan isterinya yang berasal dari Sumatera lebih 70 tahun lalu. Hanya apabila isterinya meninggal dunia pada 1999, barulah beliau mengahwini isteri keduanya yang juga lewat usia sekitar 70-an. Kedua-dua pasangan itu juga dalam keadaan uzur usia sewaktu berkahwin pada tahun 2000. Daripada kesemua anak-anaknya, tiada seorang pun menjejak langkahnya menyertai politik. Ditanya mengapa, Rohani menjelaskan: “Ayah tak galakkan kami. Kalau dia bertanding pun dia tak ajak anak-anak dia sokong dia. Inisiatif kita sendiri saja.” Ditanya sama ada beliau menyokong dan memangkah nama bapanya di atas kertas undi, dengan ketawa beliau menjawab: “Oh! Dah tentulah, ayah kita.”

Bersahaja dan selamba sahaja Rohani dan adiknya menceritakan kisah bapa mereka. Seperti mana Ibrahim yang digambarkan sebagai seorang yang sederhana hidupnya walaupun perjuangannya keras dan kental, anak-anaknya seperti mewarisi kesederhanaan hidup tersebut. Ini merupakan satu lagi kisah wira yang tidak berdendang dalam sejarah politik Malaysia yang masih ditulis oleh pihak yang menang, pemerintah yang tidak memberi ruang untuk suara alternatif. Seperti kata Kit Siang menjelang PRU 1974: “Saudara Ibrahim Singgeh adalah seorang insan yang amat rendah hati dan mempunyai kecekalan yang mendalam. Beliau telah dihumban ke penjara dalam perjuangannya menentang penjajah Inggeris demi mencapai kemerdekaan Malaya. “Sejak lima tahun lalu sebagai Adun Tapah Road, saudara Ibrahim Singgeh telah membuktikan dirinya sebagai wira dan jurucakap semua rakyat Malaysia. Majlis Tertinggi DAP Negeri Perak akan sepenuhnya menjadi pelbagai kaum, seperti mana senarai calon-calon DAP di Perak akan benar-benar pelbagai kaum.” Walaupun tidak aktif lagi dengan DAP selepas 1990-an, hubungannya dengan pimpinan parti tetap akrab. Malah, menurut Rohani, apabila ayahnya meninggal dunia, ramai orang DAP datang menziarahinya, bukan sahaja rakan-rakan lama, malah para pemimpin baru turut hadir.

Dalam catatan belasungkawanya pada 2010, Pengerusi DAP Perak pada masa itu, Ngeh Koo Ham menyatakan parti kehilangan seorang tokoh yang penting dalam perjuangannya. Salam takziahnya disampaikan kepada keluarga Ibrahim yang meratapi pemergiannya selepas Maghrib 31 Mei 2010. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sekolah Banir. Kit Siang sendiri dalam akaun twitternya pada hari meninggalnya Ibrahim mengatakan bahawa Allahyarham merupakan pemimpin yang jujur dan tidak mudah tergugat prinsipnya; dan beliau telah mendahului zamannya dalam perjuangan berasaskan kepelbagaian kaum. Jika kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan tidak dirampas oleh BN secara rakus dan tidak demokratik pada awal 2009, mungkin nama Ibrahim Singgeh hari ini sudah disemadikan dengan nama sebuah jalan di Perak. Ini merupakan antara cadangan DAP kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Nizar Jamaluddin selepas memenangi kerajaan Perak dalam PRU 2008 secara sah atas pilihan rakyat. Biarpun tanpa penghormatan itu, bagi generasi masa kini yang mudah lupa atau sengaja dilupakan pemerintah yang zalim, semangat Ibrahim Singgeh tetap menjalar dalam jiwa anak-anak muda yang masih berjuang untuk mencapai kemerdekaan daripada rasuah, salah guna kuasa dan perkauman yang menjadi amalan dalam politik semasa. Kini negeri Perak masih menanti generasi pengganti untuk tokoh-tokoh yang memperjuangkan kemerdekaan untuk anak cucu mereka hari ini. – Roketkini.com

Fadzlan Yahya: Sang pemidato anak Perak

Beliau digantung pada hari pertama melangkah masuk ke Dewan Undangan Negeri Perak sebagai Adun Pasir Bedamar. Speaker DUN ketika itu, Shamsuddin Din, mengarahkan beliau keluar dari dewan. Sebagai protes, beliau menghadiahkan bunga warna putih kepada Speaker – sebuah simbolik bahawa dalam dewan itu demokrasi telah mati. Pada hari sama, ketika sesi rehat, Speaker dikejarkan ke hospital kerana serangan sakit jantung. Dewan jadi ribut. Itu cerita beliau tentang peristiwa hampir 35 tahun lalu. Pada 1995, beliau berada di Mekah menunaikan haji ketika menerima khabar Pilihanraya Umum ke-9 tentang kekalahan teruk DAP. Sejurus selepas itu, dengan kesihatan yang semakin merosot beliau meninggalkan politik.

Beliau adalah Fadzlan Yahya (1950-2016), wakil rakyat dari DAP yang memenangi kerusi DUN Pasir Bedamar di kawasan Teluk Intan pada pilihan raya 1982. Beliau dipilih sebagai Adun di kawasan itu selama dua penggal sebelum memenangi DUN Lahat, juga di Perak, pada 1990. Beliau turut memegang jawatan Naib Pengerusi DAP dan Ketua DAPSY. Di zamannya, beliau dikenali sebagai pemidato yang hebat. Almarhum ayah Fadzlan bekerja sebagai pegawai hutan negeri. Oleh kerana itu, beliau sentiasa berpindah tempat kediaman dan tempat bersekolah. Anak Perak ini mula bersekolah darjah satu di Taiping. Selepas itu, beliau berpindah ke beberapa tempat termasuk Beruas dan Sungai Lapam. Beliau selepas itu berpindah ke Kampar sebelum kembali semula ke Beruas dan pindah semula ke Taiping.

Di Taiping beliau selesai pengajian sampai tingkatan lima. Pada tahun 1973, beliau menyertai Universiti Sumatera Utara dalam pengajian Sosial Politik atau dikenali sebagai Sospol. Ketika itu jurusan sosial politik belum ditawarkan di universiti tempatan tanah air. Selepas lebih kurang setahun di sana, beliau menyambung pengajian di Universiti Gadjah Mada pada tahun 1974 dengan lulus sebagai graduan. Pulang ke Malaysia – Tubuhkan sekolah – sertai politik. Tidak beberapa lama selepas pulang ke Malaysia, Fadzlan dan beberapa rakan berpakat menubuhkan sebuah sekolah di Taiping. Sekolah itu mengambil pelajar tingkatan 3, 4, dan 5 dengan kuliah pada sebelah malam untuk tingkatan 6. Menurutnya, jumlah pelajar sekolah itu mencecah 600 orang pada tahun 1976.

Menjelang pilihan raya umum 1974, beliau aktif dalam pemerhatian politik. PRU tersebut juga merupakan kali pertama Barisan Nasional muncul selepas meluaskan keanggotaan Perikatan yang sebelum itu hanya dianggotai UMNO-MCA-MIC. Pada PRU itu, pembangkang seperti PAS, PPP dan Gerakan bergabung dalam BN. Ada pihak yang bersetuju, tidak kurang yang tidak bersetuju. Ketika itu, menurut Fadzlan, guru lebih dari sekadar pendidik dalam bilik darjah. Beliau juga sudah dikenali di kalangan masyarakat setempat dan telah menerima beberapa tawaran menyertai parti politik. “Tawaran pertama datang daripada Cikgu Adnan Yusof, orang kuat PAS Perak dan merupakan pecahan kumpulan bebas yang tidak bersetuju dengan tindakan PAS menyertai BN,” katanya dalam satu pertemuan di Ipoh baru-baru ini. Menurut cerita beliau, dia dihubungi kumpulan Cikgu Adnan dan diminta menjadi calon bebas melawan calon PAS.

Pada masa sama, beliau menerima tawaran daripada Lim Eng Chuan, wakil rakyat DAP bagi DUN Klian Pauh di kawasan Taiping. “Beliau merupakan wakil rakyat di situ, kadang-kadang kalau ada masalah beliau datang berbincang dengan saya. Jika saya ke pekan Taiping, saya selalu singgah di tempatnya. Kami cerita hal-hal politik. Dari situlah kami berkenalan. “Beliau meninggalkan Gerakan dan menyertai DAP lantas memberi cadangan agar saya turut menyertai DAP. Changkat Jering pernah dimenangi oleh Gerakan, maka beliau meyakinkan bahawa saya ada peluang untuk menang jika bertanding. Saya masuk DAP sekitar tahun 74/75,” imbas beliau. Fadzlan bertanding kerusi DUN Changkat Jering pada PRU 1974 tetapi kalah di tangan calon BN dalam pertandingan empat penjuru. Calon BN mendapat 5,861 undi manakala Fadzlan 2,598 undi. Beliau yang turut bertanding kerusi Parlimen Matang juga tewas kepada BN, sekali lagi dalam pertandingan empat penjuru. Undi beliau adalah 4,766 manakala BN 12,543.

Namun, beliau tidak putus asa. Pada PRU 1978, beliau bertanding di DUN Chemor pula dan sekali lagi tewas. Undi yang diperolehinya ialah 9,727 manakala BN 13,641 dalam pertandingan satu lawan satu. Aktif dalam DAP – menang pilihan raya 1982. Walaupun menerima dua kekalahan, Fadzlan sudah menempa nama sebagai wakil Melayu dalam DAP yang disegani baik kawan mahupun lawan. Kebetulan, Lee Lam Thye, tokoh muda DAP dari Kuala Lumpur pada masa itu baru saja melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAP) Kebangsaan. Beliau kemudian dilantik mengisi kekosongan jawatan itu dan beliau mula bergiat lebih aktif. Semasa bekerja di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, selain menterjemah ucapan-ucapan Lim Kit Siang, beliau sering menerima undangan dari pelajar universiti tempatan terutama Universiti Malaya untuk menjadi panel forum yang selalunya berkisar tentang debat dasar DAP dan kerajaan. Beliau kemudian dihantar ke Ipoh untuk kemas kini cawangan-cawangan DAP di sana. Beliau bertanggungjawab menyusun aktiviti pemuda selain program parti seperti jamuan makan malam dan aktiviti setempat.

Pada 1982, pilihan raya umum tiba sekali lagi. Pengerusi DAP Perak ketika itu, Lim Cho Hock mencadangkan kerusi DUN Pasir Bedamar di kawasan Teluk Intan kepadanya. Ditanya tentang situasi kempen pilihan raya 1982, beliau bercerita: “Ketika itu, ada juga beberapa kawan daripada kalangan Melayu sokong saya walaupun mereka tak campur politik. Ada 5 atau 6 orang yang selalu ikut saya di sana. Ada yang jadi pemandu, ada yang jadi tukang pacak bendera. Selain itu, saya teringat, ada seorang Serani, nama dia Uncle Daniel. Dia telah sanggup keluarkan biaya untuk lain-lain perbelanjaan kempen. “Ketika kita buat rapat umum, ramai orang datang. Sambutan begitu baik. Jadi sebelum hari pengundian lagi, mereka semua seakan-akan sudah berikan keyakinan bahawa saya akan menang.” Walaupun lawannya seorang wakil rakyat yang lebih berpengalaman, beliau akhirnya menang majoriti 2,735 undi. Beliau mencatat kemenangan manis di DUN Pasir Bedamar kerana ketika itu DAP kalah banyak tempat di Perak – daripada 9 kerusi UN yang dimenangi pada 1978 kepada empat sahaja pada 1982 – bukan sahaja kerana tawaran saham Multipurpose yang menjadi modal kempen BN tetapi juga petanda sokongan kepada Perdana Menteri yang baru pada masa itu, Dr Mahathir Mohamad. DAP pada masa itu dilanda krisis dalaman serta tekanan daripada kumpulan pendidikan bahasa Cina yang menyokong BN. Berkhidmat sebagai Adun

“Mungkin kerana bertengkar dengan saya, dia stress, dia kena serangan sakit jantung,” cerita anak Mandailing Perak ini lebih lanjut tentang insiden penggantungan beliau pada hari pertama ke dewan sebagai Adun Pasir Bedamar yang memberi kesan kepada Speaker DUN pada masa itu. Sedikit tersenyum, beliau menambah, ”Saya beberapa kali timbulkan kekalutan dalam dewan. Saya sering bawa isu yang membuat BN kanjal. ‘Kanjal’ dalam bahasa orang Perak bererti terperangkap. Pada masa itu pembangkang di Perak cuma ada empat orang. “Antara isu yang saya suarakan adalah pelepasan cukai terhadap pelabur luar. Pelabur luar diberikan bebas cukai selama tiga tahun dan disambung lagi dua tahun. Kalau minta dilanjutkan, ditambah lagi dua tahun. Semua sekali dalam perkiraan saya ketika itu 10 tahun. “Dalam masa sama ada undang-undang tidak membolehkan menubuhkan persatuan. Pelabur luar tak kena cukai sedangkan rakyat Malaysia, dengan gaji sikit, tetap dikenakan cukai,” jelas beliau.

Kelantangan tokoh DAP Perak itu tidak terhad di dalam dewan. Di luar dewan beliau berdiri di depan jentolak untuk menghentikan penggusuran rumah-rumah setinggan Melayu di Pekan Baru Teluk Intan. “Saya minta penggusuran ditangguhkan untuk mengelak kemudaratan kepada kedua-dua pihak. Saya hantar telegram kepada Menteri Besar untuk tangguhkan dan minta pertimbangan. Akhirnya penduduk yang terdiri daripada 60 keluarga dapat tanah lot untuk buat rumah,” tambah beliau.Sebelum terlibat dalam politik, beliau memang aktif dengan persatuan mahasiswa Malaysia-Indonesia ketika menuntut di negara jiran itu. Beliau turut bergiat dalam persatuan kebudayaan yang digelar Sinaran Sukma. Dari situ, beliau belajar berhadapan dengan audiens. Sebagai wakil rakyat, Fadzlan dikenali dengan kemahiran berpidato yang mana baginya banyak dipengaruhi oleh gaya ucapan Sukarno.

“Sejak kecil lagi saya selalu mendengar ucapan Sukarno yang sering membakar semangat. Ketika itu saya sihat. Saya eksperimen banyak cara berucap. Lompat atas meja dan sebagainya,” jawabnya ketika ditanya gaya persembahan beliau di zaman mudanya.Pengalaman menjadi penterjemah ucapan-ucapan Lim Kit Siang turut memberi beliau peluang menimba pengalaman dalam membuat isi ucapan. Ditanya tentang buku-buku bacaan, antara lain beliau menyebutkan tulisan Karl Marx dan Friedrich Engels, selain buku karya Hamka termasuklah ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’. Ditanya jika beliau menyesal dengan keputusan menyertai DAP, Fadzlan termenung sesaat sebelum menjawab:

“Saya tak menyesal. Itu pilihan saya yang saya dah fikir habis-habis. Kebetulan pada masa itu mak mertua saya sokong. Dia kata buatlah apa yang nak buat, jangan dengar orang lain. Isteri saya turut beri kepercayaan dan banyak menyokong. Saya bersyukur dapat isteri yang dapat faham saya dan sentiasa menyokong tindak tanduk saya walaupun dicemuh orang. Apa lagi bila kita bertanding kalah, jadi bahan depa lah.” Pada PRU 1986, beliau berjaya mempertahankan kerusi DUN Pasir Bedamar dengan majoriti 3,178 undi. Namun percubaannya untuk kerusi Parlimen Teluk intan tidak berjaya apabila tewas kepada calon BN dalam pertandingan tiga penjuru. Prestasinya agak baik apabila meaih 13,709 undi berbanding BN 15,152 undi. Walaupun berpindah kawasan ke DUN Lahat pada PRU 1990, Fadzlan berjaya meneruskan kemenangannya apabila menewaskan calon BN dengan majoriti 429 undi. Beliau memperolehi 9,854 undi. Ia merupakan kali terakhir beliau bertanding dalam pilihanraya. Pandangan terhadap situasi dulu

Pada salah satu keping gambar ketika beliau sedang berpidato jelas kelihatan karismanya sebagai seorang ahli politik. “Penduduk kampung ketika itu dikatakan terbahagi kepada tiga kumpulan. Pertama, majoriti anggota UMNO. Kedua, sebahagian kecil anggota PAS. Ketiga, adalah bebas, tak campur mana-mana. “Pada masa sekarang sikap orang Melayu khususnya terhadap isu-isu politik dan parti-parti agak liberal. Dia sanggup duduk dengar kita cakap. Kalau dulu terus hentak meja. “Pemikiran pemimpin Melayu pada masa itu terkongkong dalam masyarakat Melayu dan berkisar pola hidup orang Melayu, khususnya di kampung. Pemimpin Cina pun lebih kurang seperti itu juga. Melihat pembangunan dari segi politik. Saham Multipurpose gagal. Mereka terumbang-ambing. Dalam masa sama tiada kepimpinan tegas yang membangunkan masayarakat Cina, India. Tiada cita-cita besar. “Kebanyakan masyarakat Cina lebih membangun dengan persatuan mereka, bukan dengan tokoh-tokoh politik seperti Melayu. Tengoklah Dewan Perniagaan Melayu Perak. Lembab dan tiada kegiatan. Masing-masing tunggu peluang untuk kaut untung atas angin. Tak peduli pasal masyarakat.

“Kita tengok sekolah-sekolah Cina, dibangunkan sehingga dapat bersaing dengan sekolah kerajaan. Ini semua sebab penglibatan tokoh-tokoh perniagaan, tokoh-tokoh masyarakat. Bukan tokoh politik. Kepimpinan sedemikian lebih banyak memberi manfaat kepada masyarakat. “Saya lihat UMNO adalah sebuah organisasi yang disambung dari pimpinan masyarakat feudal dulu. Masyarakat feudal dulu merupakan tokoh-tokoh tempatan di sesuatu tempat yang terpaksa mendapatkan sokongan ekonomi daripada peluang-peluang yang diwujudkan kerajaan. Itu merupakan tradisi mereka. Tokoh-tokoh UMNO dulu adalah dari orang-orang yang ada kedudukan di istana, yang ada pelajaran dari Inggeris. Bagi saya mereka ini tak boleh lihat kehidupan lain selain kehidupan yang mereka sendiri lalui. Hanya sekadar untuk hidup senang dan berkuasa.” Beliau mempunyai kesedaran politik sebelum universiti lagi dengan berjinak-jinak dengan parti PAS. Tapi entah kenapa, beliau tidak pernah terlintas untuk jadi ahli. Ditanya pandangannya antara PAS dahulu dan PAS hari ini, beliau menjawab:

“Parti PAS ketika itu bersifat nasionalis. Parti sekarang agak terbuka, tapi banyak kepentingan peribadi oleh pemimpin yang buat mereka berpecah. Kita tengok dalam isu Selangor contohnya, Hadi Awang mahu pertahan bekas menteri besar. Seakan-akan ada habuan untuk beliau. Hal ini dapat dihidu oleh ahli PAS lain. Maka mereka yang selama ini menyokong PAS mula rasa tertipu. “Dulu ceramah dia berkisar orang Melayu. Bukan dari segi Islam tapi lebih dari segi nasionalisme. Sekarang lebih cenderung memfokuskan kepada Islam. Hukum Islam, dasar Islam. “ Fadzlan kekal menetap di Perak. Rumahnya agak sunyi ketika kami berkunjung. Tidak ada anak-anak atau cucu kelihatan berlari-lari di halaman rumah. Yang ada seorang isteri yang setia, yang sempat menghidangkan kami dengan minuman petang. Jika menyertai parti politik lain, UMNO misalnya, status bekas wakil rakyat seperti itu akan memastikan sanak saudara jadi begitu rapat. Ya lah, selain habuan, menjadi wakil rakyat UMNO tentunya merupakan sesuatu yang mudah dibanggakan oleh saudara-mara.

Anak sulung perempuannya kini menetap di London dan bekerja sebagai peguam, manakala yang bongsu masih bersekolah. Kedua-duanya tidak menunjukkan minat sebagai ahli politik. Mungkin kerana mengenangkan rutin ayah mereka yang sibuk dan jarang berada di rumah. “Dia orang marah sebab saya jarang ada di rumah. Kadang-kadang mereka ungkit bahawa saya jarang bawa mereka ke supermarket, taman, atau pergi jalan-jalan.“ Itulah harga yang perlu dibayar untuk menjadi seorang pemimpin pembangkang, khususnya DAP yang menjadi mangsa fitnah UMNO-BN sejak zaman-berzaman. Tiada hasil kemewahan, anak isterinya turut merasai suka-duka perjuangan, dan sanak-saudara pula menjauhkan diri. Namun semangat Fadzlan tidak pernah pudar. Cara beliau bercerita tentang pengalamannya dengan wajah yang tenang dan kadangkala selama jelas mencerminkan ketokohan seorang pemimpin.

Diminta berkongsi pandangan tentang DAP hari ini, beliau mengulas, “DAP banyak berubah. Kalau dulu banyak bercakap isu kaum Cina, sehingga terbina satu tembok dan tak dapat keluar dari situ. Sekarang sudah berlainan. DAP lebih banyak berpaut kepada isu-isu nasional yang semua kaum boleh terima. Kata Fadzlan, UMNO mengatakan keperluan kuota untuk seimbangkan perbezaan rakyat Malaysia. Dalam masa sama, dari dulu tajuk utama berita memburukkan DAP dengan mengaitkan DAP sebagai komunis. tambahnya. “Kebanyakan kaum Melayu percaya kepada momokan itu. Dalam diri mereka sudah ditanam tanggapan yang begitu kental sekali. Tapi apa yang boleh kita buat adalah mendampingi mereka secara personal touch. Daripada situ kita kendurkan tangapan yang negatif itu. “Sudah banyak tokoh melayu diketengahkan. ini perkembangan yang sihat dan dapat menzahirkan cita-cita Malaysian Malaysia. Ini penting untuk menghapus imej DAP yang digambarkan lawan sebagai cauvinis cina.

“Kini sudah ada penerimaan terbuka dari kalangan masyarakat Melayu. Usaha ini hendaklah dilanjutkan agar jumlah ahli DAP lebih seimbang. Barulah kita dapat menampilkan satu konsep yang berasaskan Malaysian Malaysia.” Suara Fadzlan turut mencermin perubahan era serta kegigihan DAP yang tak pernah lupa tentang betapa pentingnya semangat sosial demokrasi yang menekankan kepelbagaian kaum. Zaman beliau sudah berlalu namun semangat perjuangan tetap sama. Kini tiba giliran anak-anak muda tampil untuk meneruskan perjuangan ke arah keadilan, demokrasi dan hak saksama yang masih dibelenggu politik perkauman. Fadzlan Yahya menghembuskan nafas terakhir di Ipoh pada 12 September 2016. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak. – Roketkini.com