“Apa Jasa Mereka Sejak Jadi Menteri?”

Oleh DATUK A KADIR JASIN

Hal yang hendak saya kupas ini mungkin sensitif dan menyinggung perasaan. Jadi saya mulakan dengan memohon ampun kepada sesiapa juga yang berasa tersinggung.

Ada dua aliran pemikiran dalam hal yang hendak saya bahaskan ini.

Pertama diwakili oleh seorang Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghantar pesanan WhatsApp menyatakan kejelikan melihat menteri setahun jagung ( sebenarnya baru empat bulan lebih jurang) dianugerahkan bintang kehormatatan (honorific title) negeri Melaka.

Kedua, seorang penggiat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga menghantar WhatsApp menuduh langkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) menolak bintang kehormatan sebagai ‘protes atas ketuanan raja-raja Melayu.

Saya amat setuju dengan orang tua bergelar Tun itu. Gunakanlah alasan dan kayu ukur apa pun, tindakan lima menteri itu menerima bintang kehormatan negeri Melaka adalah tidak bijak.

Ia memberi gambaran bahawa tidak ada perbezaan di antara menteri Pakatan Harapan (PH) dengan para pembesar kerajaan Barisan Nasional yang gilakan pangkat, gelaran dan kekayaan.

Maaf cakaplah kalau saya katakan ramai dalam parti masing-masing belum jelas apakah jasa mereka sehingga melayakkan mereka menerima darjah kehormatan itu.

Namun begitu saya tidak menafikan ada sebahagian mereka yang berjasa dan terbukti kerana lama berjuang dalam pembangkang. Tetapi yang rakyat nilai sekarang adalah jasa dan prestasi mereka sebagai menteri Kabinet PH.

Rakyat jelata jengkel. Perbahasan dalam media sosial jelas menunjukkan majoriti rakyat jelata tidak bersetuju malah berasa loya g=dengan penganugerahan dan penerimaaan bintang penghormatan tersebut.

Soalnya, apakah mereka ini diberikan bintang kerana pangkat mereka besar atau jasa mereka besar?Adakah bintang kehormatan diberikan kerana pangkat dan kedudukan atau jasa bakti kepada masyarakat, negeri dan negara?

Kalau kerana pangkat mereka besar, siapakah yang memberikan mereka pangkat itu? Adakah mereka mendapat restu orang atau pihak yang memberikan mereka pangkat besar itu sebelum mereka bersetuju menerima bintang kehormatan tersebut?

Kalau kerana mereka berjasa, apakah jasa mereka yang terserlah sejak menjadi menteri?Sebaliknya di warung kopi pasar tani Pendang, Kedah semalam saya mendengar rungutan rakyat jelata tentang menteri, menteri besar dan timbalan menteri PH yang tidak nampak kelibat mereka sejak menang pilihan raya.

Mereka juga bersungut mengenai banyak masalah harian yang belum diatasi. Seorang daripada mereka bertanya, bolehkah menteri yang lahir dan membesar di bandar raya faham susah payah hidup rakyat jelata di kampung dan desa?

Menteri yang dimaksudkan itu berkta anugerah bintang Melaka yang diterimanya akan memberikannya semangat untuk lebih tekun berkhidmat kepada rakyat jelata.

VIDEO: Bersama kita kukuhkan demokrasi & kalahkan kleptokrasi!

Pakatan Harapan namakan peguambela Sdr Manogran sebagai calon PRK Parlimen Cameron Highlands. Bersama kita kukuhkan demokrasi & kalahkan kleptokrasi!

Posted by Kini YouTube on Monday, January 14, 2019

Apakah undi dan mandat rakyat jelata belum memadai untuk memberikan beliau semangat?

Perlu peka

Kalau pemimpin PH peka atau dalam lain bahasa lebih baik daripada pemimpin BN, mereka perlulah sedar bahawa kita kini berada dalam persekitaran baru.Kita sedang menyusun semula keutamaan dan tingkah laku politik kita. Gerak geri kita sedang diperhatikan oleh semu pihak.

Kita kena ingat bahawa ketika pilihan raya umum lalu, ada di kalangan anggota golongan feudal yang ‘berkempen’ untuk mengekalkan BN dengan menghina PH, khususnya pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saya setuju dengan pendirian DAP tidak menggalakkan pemimpinnya mengutamakan bintang kebesaran sebaliknya menumpukan perhatian kepada menunaikan amanah rakyat jelata.

Bagi saya, ini bukan soal ‘protes atas ketuanan Raja-raja Melayu’ atau apa-apa tetapi isu dasar. Sepatutnya semua parti PH mengutamakan khidmat kepada rakyat jelata dan membentuk persekitaran yang lebih sama rata (egalitarian) bukan memanjangkan amalan feudalisme, kelas dan kasta.

Lagipun bintang kehormatan semakin hari semakin tidak bermakna apabila diberikan seumpama ‘door gift’ majlis kenduri kepada orang yang entah apa-apa latar belakangnya- termasuk ketua kongsi gelap, kaki pukul dan gedebe.

Melaka bukan lh sebuah negeri yang besar. Tapi dalam majlis penganugerahan kali ini, selain lima orang menteri, 414 yang lain turun terima bintang dan gelaran.

Saya harap, dalam Malaysia baru ini marilah kita muliakan balik institusi- institusi negara agar masing-masing berada di tempat yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Ingatlah tidak seorang pun yang memijak bumi Malaysia dan menjunjung langitnya berada di atas Perlembagaan.Kita semua tertakluk kepada perlembagaan.

Dan selagi kerajaan PH berkuasa atas penetuan rakyat jelata tolonglah utamakan perkhidmatan. Belum terlambat memperbetulkan kesilapan. Jadikan cerita bintang Melaka ini sebagai teladan dan sempadan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *