Penjuru Kiri

Kalau anda sempat membaca buku Billion Dollar Whale tulisan wartawan Wall Street Journal, Bradley Hope dan Tom Wright, anda akan rasa sakit hati. Ini adalah sebuah naskhah yang mengisahkan bagaimana rakyat Malaysia telah ditipu hasil kerja seorang manusia bernama Jho Low.

https://www.facebook.com/kiniyoutube/videos/2309634505948049/

Sebelum kita mengasah parang kerana menjadi mangsa penipuan seorang budak tionghua dari Pulau Pinang harus diingat bahawa yang membuka pintu khazanah negara untuk dinikmati bersama-sama Jho Low ini adalah tidak lain, mantan Perdana Menteri sendiri dengan hasil desakan isteri beliau.

Buku tersebut turut mengisahkan bagaimana Jho Low masuk ke kapal mewah milik orang lain, menukar gambar-gambar yang tergantung dengan gambar keluarganya sendiri dan menganjurkan majlis seronok-seronok agar kawan-kawannya kagum padanya.

Perbuatan itu kemudiannya berterusan sehingga dewasa. Berbohong dan berbelanja hak orang lain, demi merasa seronok dan bangga dengan diri sendiri. Rompakan besar-besaran ini tidak terhad kepada aktiviti terkait dana 1MDB dan Jho Low sahaja. Kejutan terbaru muncul dalam senarai pendakwaan terhadap pengganti Najib Razak; yang diheret ke mahkamah dengan 45 tuduhan berasingan, melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah, penggubahan wang haram dan rasuah. Lebih jijik lagi ia dilakukan atas nama Yayasan Akal Budi.

Penyudahnya Ahmad Zahid akan terpaksa berjawab dengan pertuduhan melibatkan dana berjumlah RM114 juta. Penyokong UMNO pula hatta terpaksa merayu supaya pihak kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap pimpinan parti mereka. Walaupun bunyinya kasar; mereka berteriak supaya kerajaan ‘tidak’ membalas dendam dengan menghadapkan para pimpinan kaki klepet mereka ke muka pengadilan.

United Malays National Organisation sudah sampai ke saat-saat hujung penyakitnya yang sudah lama melarat. Mujurlah rakyat Malaysia membuat keputusan untuk menghumban parti ini ke bakul sampah. Jika tidak, entah apa bala lagi yang bakal dibawa; apa beban lagi yang harus ditanggung, demi supaya pemimpin UMNO boleh hidup bersenang lenang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *